21 Julai, 2012

2014 ~ Karangan Cuti 2 (Hanya untuk Sr2ScD)

Kebelakangan ini, masalah disiplin dalam kalangan generasi muda semakin meruncing. Kes remaja lari dari rumah semakin kerap berlaku dan telah menimbulkan pelbagai kesan buruk kepada masyarakat dan negara. Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan wujudnya gejala sedemikian? Bincangkan.

Gejala remaja lari dari rumah semakin meningkat sejak akhir‑akhir ini dan kerap menjadi topik hangat dalam akhbar‑akhbar harian. Sekiranya tidak dibendung, gejala ini akan mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat dan negara. Walaupun kes tersebut mendapat liputan yang meluas, namun masih banyak yang terbiar dan tidak dapat diselesaikan oleh pihak polis. Hal ini meninggalkan kesan negatif kepada ibu bapa, malah ibu bapa yang mempunyai anak‑anak yang masih remaja semakin risau kalau‑kalau masalah itu menimpa keluarga mereka pula. Remaja ialah pewaris bangsa. Oleh itu, mereka haruslah diberikan perhatian yang sewajarnya agar tidak mudah terjebak dalam gejala yang tidak diingini. Untuk memastikan masalah ini tidak berterusan, kita mestilah mengenal pasti punca gejala tersebut secepat mungkin.
Antara punca yang menyebabkan wujudnya gejala tersebut ialah kelonggaran hubungan kekeluargaan. Kebanyakan ibu bapa. sibuk dengan kerjaya masing‑masing dan tidak mempunyai masa lapang yang cukup untuk bersama anak‑anak. Malah, masyarakat hari ini sememangnya masyarakat yang materialistik. Mereka pulang ke rumah dalam keadaan letih dan tidak dapat melayani kerenah anak‑anak mereka yang sudah tentunya pelbagai ragam. Hal ini menyebabkan anak‑anak berasa diri mereka tidak dipedulikan. Ada juga antara mereka yang tinggal di rumah tanpa ditemani oleh ahli keluarga yang lebih tua. Keadaan ini menyebabkan mereka berasa sunyi dan tersisih di rumah sendiri. Situasi menjadi semakin buruk apabila ibu bapa yang tidak mempunyai hubungan yang baik menjadikan anak‑anak mereka sebagai tempat melepaskan geram. Bagi menyelesaikan masalah, maka sudah tentulah mereka akan keluar dan lari dari rumah dengan harapan mereka akan dapat menarik perhatian ibu bapa mereka.          
       Punca seterusnya ialah kurang didikan agama dan ini menyebabkan seseorang remaja itu tidak dapat bertindak secara rasional, lebih‑lebih lagi apabila mereka berhadapan dengan sesuatu masalah yang sukar diatasi. Sebenarnya pendidikan agama merupakan suatu benteng penahan yang kuat dan akan mengelakkan seseorang daripada melakukan perkara‑perkara yang tidak baik. Namun, kebanyakan ibu bapa masa ini tidak memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap hal ini. Pendidikan agama yang kurang dalam diri seseorang remaja itu akan menyebabkan remaja bertindak mengikut perasaan tanpa mernikirkan tanggungjawab sebenar mereka terhadap ibu bapa dan keluarga. Golongan remaja yang begini akan mudah terikut‑ikut dengan keadaan persekitaran yang tidak sihat dan terjebak dalam gejala sosial yang merosakkan akhlak termasuklah lari dari rumah, terutamanya apabila mereka berasa masalah di dalam rumah itu terlalu membebankan diri dan perasaan mereka. Golongan sebegini selalunya tidak akan mendengar nasihat dan teguran ibu bapa lantas mengambil jalan mudah, iaitu lari dari rumah.
       Punca berikutnya ialah pengaruh rakan sebaya. Tidak dapat dinafikan bahawa masa remaja memang banyak dihabiskan bersama rakan sebaya berbanding dengan ibu bapa dan adik­-beradlik yang lain. Oleh sebab itulah rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap seseorang remaja. Jika seseorang remaja itu tidak pandai memilih kawan dan berkawan dengan remaja yang terlibat dengan pelbagai gejala yang tidak sihat, termasuk lari dari rumah, besar kemungkinan mereka juga akan mengikut jejak langkah rakan itu. Remaja yang tidak suka dikongkong turut menyebabkan mereka nekad lari dari rumah untuk tinggal bersendirian, berseronok dan bebas daripada kawalan ibu bapa. Ada juga remaja yang lari dari rumah kerana terpaksa menerima cabaran daripada rakan‑rakan supaya mereka ticlak tersingkir daripada kumpulan mereka. Situasi ini akan lebih memburukkan keadaan, terutarna bagi remaja yang memang sudah sedia bermasalah.
       Selain itu, penglibatan diri dalam sesuatu jenayah secara langsung atau tidak langsung merupakan punca yang menyebabkan seseorang remaja itu lari dari rumah. Golongan remaja yang terlibat dalam kegiatan jenayah atau kegiatan salah laku yang agak serius akan berasa malu sekiranya kegiatan mereka diketahui oleh keluarga dan masyarakat. Oleh sebab itulah mereka mengambil jalan keluar dengan melarikan diri dari rumah. Hal ini biasanya berlaku di kalangan remaja yang agak bebas lalu menyebabkan ada pihak yang akan mengambil kesempatan. Contohnya, anak gadis yang terpedaya dengan pujukan orang yang disayangi hingga menyebabkan mereka terjebak ke lembah pelacuran. Si gadis yang takut dimarahi oleh ibu bapa atau khuatir tidak diterima oleh keluarga akan melarikan diri dari rumah.
       Di samping itu, tarikan kuat dunia luar dan negara berikutan pengaruh budaya Barat turut menjadi punca gejala ini. Golongan remaja kini sering terpengaruh oleh idea kebebasan dan individualistik. Malahan gaya hidup bebas yang penuh keseronokan menjadi idola banyak remaja. Apabila ibu bapa mereka cuba menerapkan nilai-nilai baik dan terpuji, anak-anak menganggap ibu bapa cuba mengongkong kebebasan mereka. Jika keadaan ini berlarutan, anak-anak tidak teragak-agak lagi untuk meninggalkan rumah mereka.                                                                                                        
       Demikianlah antara punca yang menyebabkan remaja lari dari rumah. Remaja itu sendiri tidak sedar bahawa mereka merupakan aset yang paling berharga bagi negara, kerana di bahu merekalah tergantung harapan dan tanggungjawab untuk meneruskan kegemilangan bangsa dan negara. jika ramai antara mereka yang kecundang akibat kegiatan yang tidak bermoral akan terjejaslah maruah bangsa dan negara pada mata dunia. Untuk mengatasi masalah ini, ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah diri yang mulia dalam kalangan anak‑anak. lbu bapa seharusnya memberikan didikan, kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada anak‑anak mereka. Para remaja itu sendiri juga perlu sedar akan tanggungjawab mereka sebagai anak sekali gus pewaris bangsa. Mereka tidak harus bertindak mengikut perasaan dan sepatutnya sudah boleh menilai mana yang baik dan mana yang buruk demi menjamin masa depan yang gemilang.