12 November, 2018


Sr2ComA & Sr2B ~ Soalan Perbandingan (Novel)


Jika kehendak soalan : Membandingkan perwatakan (dll) .... 
Perlu bandingkan dari segi persamaan & perbezaan.

Jika kehendak soalan : Membandingkan persamaan perwatakan (dll) ...
Perlu bandingkan dari segi persamaan sahaja.

Jika kehendak soalan : Membandingkan perbezaan perwatakan (dll) ...
Perlu bandingkan dari segi perbezaan sahaja.


Contoh : Perbandingan perwatakan watak utama dalam dua buah novel.

Novel yang saya pelajari ialah novel “Leftenan Adnan Wira Bangsa” karya Abdul Latif bin Talib dan novel “Tirani” karya Beb Sabariah  dan. Watak utama dalam novel “Leftenan Adnan Wira bangsa” ialah Leftenan Adnan, manakala watak utama dalam novel “Tirani” ialah Waheeda. Kedua-dua watak utama memperlihatkan persamaan dan perbezaan dari segi perwatakan.
       Antara persamaan kedua-dua orang watak utama dalam dua buah novel tersebut ialah mereka merupakan seorang yang berani. Contohnya, Leftenan Adnan berani menentang tentera Jepun walaupun mempunyai senjata dan bilangan askar Melayu yang kurang. Beliau menentang tentera Jepun di Bukit Candu sehingga titisan yang terakhir. Manakala Waheeda berani menjalani pembedahan pada mata dan hidungnya walaupun Dr Zahari menerangkan risiko yang terpaksa ditanggungnya akibat pembedahan tersebut. Akhirnya, Waheeda berjaya menjalani pembedahan dan wajahnya menjadi cantik.
       Dari segi perbezaan, kedua-dua orang watak mempunyai minat yang berbeza. Leftenan Adnan amat meminati bidang ketenteraan. Beliau sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai guru semata-mata minatnya yang mendalam dalam bidang ketenteraan. Sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai askar, beliau telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan berusaha sedaya upaya menentang tentera Jepun di Bukit Candu sehingga titisan darah terakhir. Manakala Waheeda pula mempunyai minat yang mendalam dalam bidang perniagaan. Beliau berusaha dengan gigih untuk memajukan perniagaan pelancongan keluarganya, iaitu Chalet Tajau Emas. Waheeda mengadakan pelbagai promosi dan pakej untuk menarik kedatangan pelancong. Akhirnya, Chalet Tajau Emas menjadi tumpuan pelancong termasuklah pelancong luar negara.

25 Ogos, 2018

Teknik Plot Novel “Tirani”

Catatan :  Bagi sesetengah soalan, nama watak TIDAK BOLEH
                 diletakkan dalam ayat isi.
                 Nama watak hanya dimasukkan dalam ayat-ayat 
                 huraian.
                 (Namun tetap bergantung pada kehendak dan bentuk
                  soalan)


Pemerian
Pengarang memerihalkan upacara menyarungkan cincin perkahwinan pengantin lelaki di jari pengantin perempuan. Contohnya, Waheeda tersenyum mengalu-alukan Mak Cik Hazimah, ibu saudara Zahid, lalu menghulurkan tangan kanannya. Haziamah menyarungkan cincin pemberian Zahid di jari manis untuk memantapkan ikatan perkahwinan mereka. Waheeeda berengsot dan mencium tangan suaminya. Zahid merapatkan wajahnya ke hadapan lalu mencium dahi isterinya. Mesra dan kejap.
Pengarang memerihalkan keadaan wajah Waheeda selepas dia menjalani pembedahan plastik. Contohnya, mata Waheeda berbalut dan hidungnya pula berbebat selama dua hari berada di wad selepas pembedahan. Seterusnya, wajah Waheeda dipuji oleh kawannya, Bazilah kerana wajahnya sememang manis ditambah pula kelopak mata cantik berlapis. Hidungnya mancung macam heroin Hindustan, sampai Bazilah hilang kata-kata untuk memujinya.


Kejutan
Antara contoh teknik kejutan yang terdapat dalam novel ini ialah perisitiwa serangan monyet Belanda di Chalet Tajau Emas. Monyet Belanda yang menceroboh chalet tersebut menyebabkan suasana menjadi kelam kabut. Penghuni dan pekerja-pekerja lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri daripada digigit monyet Belanda. Peristiwa ini menimbulkan kejutan kepada pembaca kerana pembaca tidak menyangka bahawa monyet Belanda bertindak agresif sehingga mencederakan Waheeda. Muka Waheeda telah dicalar oleh monyet dan segera dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
Selain itu, contoh teknik kejutan yang terdapat dalam novel ini termasuklah peristiwa Waheeda diceraikan oleh Zahid. Suami Waheeda Zahid merupakan seseorang yang panas baran dan kuat cemburu. Oleh itu, Zahid telah menuduh Waheeda bahawa dia telah berlaku curang dengan lelaki yang lain. Ini menyebabkan Zahid mengesyaki bahawa Izzati bukan anak kandungnya dan menceraikan Waheeda. Peristiwa ini tidak disangka oleh pembaca kerana Zahid sangat cinta akan Waheeda sebelumnya.


Saspens
Salah satu peristiwa yang mengandungi teknik saspens termasuklah peristiwa Waheeda digigit oleh monyet Belanda. Pembaca berasa tertanya-tanya dan ingin mengetahui keadaan Waheeda apabila berlaku kejadian tersebut. Contohnya, adakah wajah Waheeda menjadi cacat selepas mukanya digigit?
Selain itu, teknik saspens juga digunakan oleh penulis apabila Zahid berasa insaf akan kesalahannya serta meminta maaf daripada Waheeda. Pada masa ini, pembaca akan mewujudkan perasaan ingin tahu bahawa Zahid akan diampunkan oleh Waheeda atau tidak. Secara langsung, pembaca akan membaca cerita seterusnya untuk mencari jawapan.


Imbas Kembali
Zahid mengimbas kembali tindakannya yang menceraikan Waheeda dua puluh tahun yang lalu. Dia menceraikan Waheeda kerana menganggap bahawa Waheeda tidak setia akannya. Dia juga tidak mengakui Izzati sebagai anak kandungnya walaupun Waheeda telah menjalani ujian DNA yang membuktikan bahawa Izzati ialah anak daging mereka. Zahid menyesal akan perbuatannya kerana dia telah mengabaikan keluarganya.
Waheeda mengingati dia diejek oleh kawan-kawannya kerana dia bermata sepet dan berhidung pesek. Pada zaman persekolahannya, dia menghidapi penyakit alergi yang sukar untuk dirawati. Hal ini menyebabkan Waheeda menerima gelaran ‘ Eda Keropok’. Oleh itu, Waheeda tetap hendak pergi menjalani pembedahan plastik pada mukanya walaupun sudah mengetahui risiko pembedahan plastik.


Monolog Dalaman
Raidah berfikir bahawa ada sesuatu yang kurang dalam perbincangan Waheeda dengan Datin Hazirah. Raidah beranggapan bahawa seorang yang penting tidak disebut dalam perbincangan mereka. Raidah juga dapat memerhatikan bahawa sesuatu yang sangat mencengkam rasa dalam sanubari masing-masing telah berlaku. Walau bagaimanapun, Raidah hanya senyum angguk pada ketika itu. Waheeda berfikir bahawa tiada ada sesiapa ingin dilahirkan tidak sempurna. Mat Gusi tidak ingin menghidap penyakit jantung berlubang, waheeda juga tidak ingin menghidap penyakit alergi yang sukar dirawat. Hal ini telah menyebabkan Mat Gusi telah meninggal dunia manakala Waheeda mempunyai gelaran 'Eda Keropok' . Dengan ini, keinginan menjalani pembedahan plastik dalam hati Waheeda telah wujud


Monolog Luaran
1.     Bapa Waheeda, Fadihil berbisik pada dirinya dengan berharap agar majlis tidak melepasi waktu zuhur.
-        Fadhil berasa gembira kerana banyak tetamu yang menghadiri majilis akad nikah antara Waheeda dengan Zahid yang diadakan pada hari Sabtu dan majilis persandingan  antara Waheeda dengan Zahid yang diadakan pada hari Ahad.
-        Fadhil risau bahawa majilis persidangan yang diadakan ini akan melewati waktu zuhur.
-        Namun begitu, Datuk Yasser memujuk Fadhil bahawa majlis ini biasanya akan tamat dalam masa satu jam.

2.     Waheeda berbisik kepada dirinya tentang keinginan untuk mencuba pembedahan plastik pada masa itu.
-        Waheeda melayari laman sesawang “ALL YAHOO! HEALTH” dan dia terpikat oleh laman sesawang yang berkaitan dengan kecantikan.
-        Perkataan-perkataan magis yang terdapat dalam laman sesawang tersebut telah menimbulkan keinginan Waheeda untuk mencuba pembedahan plastik.
-        Walaupun Waheeda dinasihati oleh Raidah bahawa kecantikan asli perlu dipilihara kerana merupakan ciptaan Tuhan, tetapi Waheeda tetap dengan pandangan sendiri, iaitu kecantikan ialah ruang dan peluang membina keterampilan diri.

3.     Waheeda berdoa sebelum menjalani pembedahan plastik di Silicon Medical Centre (SMC).
-        Waheeda cuba menenangkan diri dengan memberitahu diri bahawa jiwa yang tenang boleh menguasai keadaan sekarang.
-        Waheeda juga mengumat-ngamitkan membaca doa untuk menaikkan semangat diri sebelum menjalani penbedahan.
-        Waheeda memeluk ibunya sebelum masuk ke bilik persediaan pembedahan.


Imbas Muka
Peristiwa teknik imbas muka ialah Waheeda membayangkan tempat pembedahan. Contohnya, Bazilah berasa gerun tatkala membayangkan keadaan meja bedah dan alat perkakas yang lazim digunakan semasa sesi pembedahan dijalankan sewaktu mendengar penerangan tentang prosedur pembedahan daripada Dr. Zahari.
Selain itu, peristiwa teknik imbas muka ialah Waheeda membayangkan keadaan diri menjalani proses pembedahan. Contohnya, ketika menantikan kedatangan doktor yang akan menjalankan pembedahan ke atas dirinya, Waheeda membayangkan keadaan dirinya yang seumpama disembelih hidup-hidup semasa proses pembedahan itu nanti.
  

Teknik Dialog
Antara teknik dialog yan terdapat dalam novel tersebut ialah perbualan antara Dr Zahari dengan Waheeda. Contohnya, Dr Zahari menjelaskan gambaran tentang pembedahan plastik yang akan dilalui oleh Waheeda. Dr Zahari juga menjelaskan risiko yang dihadapi olehnya dalam pembedahan tersebut.
Selain itu, teknik dialog yang terdapat dalam novel tersebut ialah perbualan antara Waheeda dengan ibunya, Raidah. Contohnya,Waheeda telah menyatakan hasratnya untuk menjalani pembedahan plastik kepada ibunya. Namun, bapa Waheeda tidak bersetuju dengan hasrat Waheeda kerana beliau mengangap perbuatan itu bercanggah dengan hukum agama.


Konflik
      Novel yang saya kaji ialah novel Tirani, karya Beb Sabariah. Watak utama dalam novel Tirani ialah Waheeda dan pelbagai konflik dihadapi oleh Waheeda.

      Salah satu konflik yang dihadapi oleh watak utama ialah konflik memikirkan hasratnya dihalang. Contohnya, keinginan Waheeda menjalani pembedahan plastik tetapi dilarang oleh ibu bapanya, Fadhil dan Raidah. Mereka melarang Waheeda menjalani pembedahan plastik kerana perbuatan tersebut melanggar ajaran agama Islam. Namun, Waheeda berasa wajahnya hodoh kerana hidung dia pesek dan dia selalu diejek oleh rakannya. Akhirnya Waheeda tetap menjalani pembedahan plastik hidung dan mata dengan alasan utnuki mengubati kecederaannya akibat digigit oleh monyet belanda. Ibu bapa Waheeda tidak membantah hasrat Waheeda itu lagi. Setelah pembedahan, wajah Waheeda menjadi cantik dan sering dipuji oleh kawan-kawannya.

      Selain itu, watak utama menghadapi konflik memikirkan kerenah suami. Contohnya, konflik berlaku kerana sikap Zahid yang kuat cemburu dan cepat naik baran. Zahid sering cemburu akan Waheeda yang bergaul mesra dengan lelaki lain seperti Doktor Rushdi. Zahid juga tidak mempercayai bahawa Izzati ialah anak dia dengan Waheeda dan enggan melihat laporan DNA Izzati. Sikap Zahid itu menyebabkan Waheeda mengalami masalah kemurungan. Akhirnya, Waheeda menerima penceraian yang dibuat oleh Zahid terhadap dirinya. Waheeda terus berusaha memajukan perniagaaan pelancongan dan membesarkan anaknya, Izzati selama 20 tahun tanpa suami di sisinya.

      Seterusnya, watak utama menghadapi konflik memikirkan hubungan dengan kawan karib. Contohnya, Waheeda telah menumpang di rumah Bazilah semasa menunggu untuk menjalani pembedahan plastik di Singapura. Namun, semasa berada di rumah Bazilah, Waheeda telah bergaul mesra dengan tunang Bazilah, iaitu Doktor Zahari. Hal ini telah menyebabkan Bazilah berasa cemburu akan Waheeda dan hubungan antaranya dengan Doktor Zahari tidak begitu rapat. Untuk mengelakkan hubungan Bazilah dan Doktor Zahari menjadi renggang, Waheeda telah berpindah keluar dari rumah Bazilah dan menginap di Flamingo Resort. Tindakan Waheeda ini juga berjaya mengelakkan terjejasnya hubungan Waheeda dengan Bazilah.

24 Ogos, 2018

Prosa Tradisional Kepimpinan Melalui Teladan


      Kisah bermula apabila Seri Betara Majapahit berbincang dengan Patih Gajah Mada untuk menewaskan Melaka setelah kematian penjurit tujuh bersaudara. Ketujuh-tujuh penjurit dibunuh oleh laksamana di Bukit Cina. Justeru, Patih Gajah Mada merancang untuk  mengarahkan Kertala Sari membunuh Sultan Melaka dan laksamananya. Kertala Sari bersetuju dengan permintaan Patih Gajah kerana ingin membalas dendam atas kematian ayahnya yang dibunuh oleh laksamana Melaka.   
         Patih Gajah  membawa Kertala Sari mengadap Seri Betara dan menerangkan bahawa Kertala Sari merupakan penjurit yang sangat handal. Kehebatan Kertala Sari mengalahkan negeri Daha seorang diri  menyebabkan Seri Betara menitahkan Kertala Sari segera ke Melaka untuk membunuh Sultan Melaka dan laksamana Melaka dan menjanjikan jawatan penggawa agung kepadanya.
        Ketika berada di Melaka Kertala Sari menyamar sebagai pengikut Patih Kerma Wijaya. Di Melaka Kertala Sari mencuri harta saudagar-saudagar dan orang-orang kaya serta mencabuli isteri-isteri mereka. Keadaan ini menimbulkan kerisauan kepada Sultan Melaka dan menitahkan agar Temenggung serta orangnya menjaga keselamatan dan mengawal keadaan negeri Melaka dari kejadian kecurian. Namun kecurian masih tetap berlaku sehingga melibatkan rumah Bendahara. Hal ini kerana Kertala Sari menggunakan ilmu kesaktian untuk menggelakkan diri daripada ditangkap. Melihat pada keadaan tersebut laksamana menawarkan diri kepada Sultan untuk mengawal istana kerana mengikut firasatnya penjurit akan masuk ke istana pula.
        Dengan kebijaksanaan dan kecekapan serta ilmu yang dimiliki oleh laksamana berjaya menggagalkan rancangan Kertala Sari untuk mencuri harta raja,membakar dan mengamuk serta mengambil isteri-isteri sultan. Kertala Sari berjaya dibunuh oleh laksamana di tengah pasar, manakala kemaluan Kertala Sari dipotong sebagai bukti laksamana membunuhnya. Mayat Kertala Sari telah dikerat-kerat anggota badannya oleh penduduk yang menjumpai mayat tersebut untuk dibuktikan kepada sultan bahawa merekalah yang telah membunuh Kertala Sari. Namun laksamana telah menunjukkan bukti yang lebih kukuh kepada sultan bahawa beliaulah yang telah berjaya membunuh Kertala Sari. Baginda sultan telah memberi anugerah kepada laksamana atas kejayaan membunuh Kertala Sari.
         Segala hasil curian yang telah disimpan oleh Kertala Sari di Bukit Cina berjaya ditemui dan Sultan telah mengarahkan semua empunya barang untuk menuntut barang-barang tersebut. Baginda sultan telah meminta supaya empunya barang-barang tersebut memberikan dua pertiga bahagian dari barang-barang tersebut kepada laksamana. Namun laksamana hanya bersetuju untuk mengambil satu bahagian sahaja dan barang-barang tersebut kesemuanya telah diagihkan oleh laksamana kepada fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil sedikitpun dari harta tersebut. Akhirnya berita kematian Kertala Sari yang dibunuh oleh laksamana telah sampai ke pengetahuan Patih Gajah Mada di Majapahit. Patih Gajah Mada tidak putus asa terus mencari orang yang dapat membunuh Sultan dan Laksamana Melaka.  

Cerpen Kulit Kijang


Sinopsis
Mengisahkan  ‘Aku melancong  ke  negara  Turki  sambil  mencari  cenderahati untuk dibawa  pulang ke  Malaysia.  Pelbagai  barangan  yang  tersenarai  untuk dibeli kepada rakan-rakan serta dirinya sendiri. Namun dirinya hanya tertarik dengan buku- buku berbanding barang-barang hiasan yang lain. Sejumlah wang telah disediakan dan diperuntukkan untuk pembelian cenderamata tersebut serta sedikit wang kecemasan untuk dirinya. Beliau juga telah dinasihatkan oleh pemandu pelancong dan beberapa panduan serta pantang larang ketika berbelanja di Istanbul. ‘Aku serta rakan-rakannya berasa sukar untuk menawar harga barangan yang hendak dibeli kerana tiada tanda harga dipamerkan dan harga barangan hanya akan diberitahu jika ditanya.

Melintasi sebuah kedai menjual jaket kulit, Aku terpaku pada sepasang sarung tangan kulit berwarna hitam di rak cermin. ‘Aku mengimbas   akan abangnya yang menunggang motosikal pergi balik kerja. Andai ada sarung tangan kulit, tentu tangan Abang Longnya itu tidak terdedah pada terik matahari. Pemuda Turki seakan dapat membaca isi hati menunjukkan sarung tangan kulit itu namun ‘Aku tidak berani mengambilnya kerana tidak mengetahui akan harganya.

Hajah Normah dan Dr. Liza tertarik dengan harga jaket berwarna kuning keemasan yang dibeli oleh Haji Helmi dan isterinya dengan harga yang murah berbanding kedai-kedai lain. ‘Aku tiada pilihan mengikut rakan-rakannya masuk ke kedai tersebut. Kedainya tidaklah begitu luas namun mampu menempatkan sepuluh orang pelanggan pada satu-satu masa dan mempunyai beratus-ratus helai jaket kulit beraneka warna dan rupa bergantungan kemas di dalam rak berhawa dingin. ‘Aku dan rakannya dilayan mesra umpama selebriti. Pekedai tanpa putus asa memujuk ‘Akuagar membeli jaket kulit kijang. Namun, ‘Aku masih belum berniat untuk mencari pengganti jaket kain yang telah lama berkhidmat kepadanya. Namun, kerana ingin mengambil hati rakan-rakannya atau terhutang budi kerana secawan teh epal, ‘Aku’ cuba mengenakan jaket kulit tersebut. ‘Aku’ tersentak dengan harga yang disebutkan kerana dia tidak mempunyai wang yang banyak untuk membeli jaket kulit kijang yang lembut itu. Dua rakannya itu telah membayar harga jaket pilihan mereka. ‘Aku dengan kata-kata berbudi bahasa mengambil keputusan untuk tidak membeli jaket tersebut. Wajah pekedai bertukar masam dan marah dengan tindakan ‘Aku dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Perjalanan melawat Egyptian Market, ‘Akudidatangi seorang remaja kurus dan bercakap separuh berbisik menjual barangan Black market. Melewati rakan ‘Aku’, Kak Chah dan Shahmeem, lelaki dewasa bertubuh tegap iaitu seorang polis menangkap remaja tersebut atas kesalahan menjual barangan Black market. Ketika beratur menaiki feri menyeberangi Selat Bhosporus, seorang lelaki tua dengan berani meletakkan sehelai jaket kulit berwarna hitam di lengan Aku. Rakan ‘Aku’, Shahmeem menunjukkan minat dan membeli dengan harga AS$ 120, namun tidak sesuai dengannya apabila dipakai. Shahmeem menjual pula kepada ‘Aku dengan harga AS$100. ‘Aku terpaku namun dapat menggembirakan hati Shahmeem. ‘Aku juga menggambarkan tidak praktikalnya jaket itu digunakan di Malaysia, tidak sesuai dipakai dengan cuaca di Malaysia. Perlu dijaga dengan rapi, tidak boleh dilipat sembarangan, kulitnya tidak tahan lasak jika koyak pula tidak dapat dijahit dengan benang. Jelas sekali ‘Aku’  terlihat lebih seekor Kijang akan dibunuh untuk mendapatkan sehelai jaket kulit.


Akhirnya,  ‘Aku berhasrat untuk menggembirakan orang lain. Dia akan menjual jaket itu dan wang jualan akan didermakan kepada mana-mana zoo yang mempunyai kandang kijang, sabagai tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang terkorban demi gaya hidup yang penuh dengan kemodenan.

Watak Dan Perwatakan
Watak utama ( Mas )
1.     Gemar membaca.
Aku gemar membaca kerana dia akan leka membeli dan membaca buku jika terjumpa kedai yang menjual buku.
1.     Baik dan murah hati.
Aku begitu bermurah hati dengan memberikan wang sebanyak lima lira kepada wanita tua yang menjual makanan burung walaupun harga sepiring hanya satu lira.
1.     Berbudi bahasa.
Aku dengan sebaik mungkin berbudi bahasa kepada pekedai Turki kerana tidak mahu membeli jaket kulit agar pekedai itu tidak berasa kecil hati.
1.     Tidak boros berbelanja.
Aku tidak terpengaruh dengan layanan mesra pekedai Turki agar membeli jaket kulit kijang itu.
1.     Sayang akan haiwan.
Aku begitu menyayangi haiwan seperti kijang kerana dia berhasrat untuk memberikan wang hasil jualan jaket kulit kijang kepada mana-mana zoo yang mempunyai kandang kijang agar dapat memelihara haiwan tersebut daripada menjadi korban arus pemodenan.
1.     Bersederhana apabila berbelanja.
Aku telah membuat senarai barangan yang hendak dibeli agar tidak melebihi perbelanjaan yang telah diperuntukan.

Watak sampingan
1.     Pekedai Turki - Pemuda berkulit putih
                        Mempunyai kumis. (misai)
                        Fasih berbahasa inggeris.
1.     Peramah dan mesra
Pekedai Turki kelihatan begitu peramah dan mesra ketika melayan pelanggan di kedainya.
1.     Tidak berputus asa
Pekedai Turki tidak berputus asa memujuk pelanggannya membeli barang jualannya.
1.     Pandai mengambil hati
Pekedai Turki sangat pandai mengambil hati pelanggannya dengan memberikan kata-kata manis.
1.     Cepat marah
Pekedai Turki cepat naik amarah kerana pelanggannya tidak mahu membeli barangannya walaupuan telah mencubanya.

2.     Polis Turki
·        Lelaki dewasa, bertubuh tegap, berbaju T dan berseluar panjang
·        Berwajah serius –Polis Turki kelihatan serius ketika dia menjalankan tugasnya apabila dia menangkap seorang remaja yang menjual barangan pasaran gelap.



3.             Shahmeem
·        Kawan kepada Aku
·        Mudah terpengaruh :Shahmeem terpengaruh dengan sehelai jaket hitam yang dijual secara pasaran gelap tanpa mengetahui ukuran saiznya.
·        Murah hati :Shahmeem bermurah hati dengan  mengurangkan sebanyak AS$20 daripada harga asal pasaran gelap kepada Aku kerana jaket kulit kijang itu tidak padan dengannya.

Nilai
1.     Nilai Kegigihan
Contohnya, pekedai Turki begitu gigih dan tidak berputus asa untuk meyakinkan pelanggannnya agar membeli barangan kulitnya.

2.     Nilai Keikhlasan
Contohnya, Mas begitu ikhlas terhadap wanita tua yang menjual makanan burung dengan memberikan wang sebanyak lima lira kepada wanita tua tersebut untuk membeli makanan burung walaupun harga sepiring hanya satu lira. 


Pengajaran
1.     Kita wajar mempunyai sikap gigih dalam melakukan pekerjaan supaya hasil yang diinginkan tercapai.
2.     Kita hendaklah bersikap ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara tanpa mengira taraf kehidupan seseorang.
Persoalan
1.     Persoalan tentang kegigihan dalam memberikan layanan serta ramah mesra terhadap pelanggan atau pelancong.
2.     Persoalan tentang keiklasan dalam melakukan sesuatu tanpa mengira taraf kehidupan seseorang.