12 November, 2018


Sr2ComA & Sr2B ~ Soalan Perbandingan (Novel)


Jika kehendak soalan : Membandingkan perwatakan (dll) .... 
Perlu bandingkan dari segi persamaan & perbezaan.

Jika kehendak soalan : Membandingkan persamaan perwatakan (dll) ...
Perlu bandingkan dari segi persamaan sahaja.

Jika kehendak soalan : Membandingkan perbezaan perwatakan (dll) ...
Perlu bandingkan dari segi perbezaan sahaja.


Contoh : Perbandingan perwatakan watak utama dalam dua buah novel.

Novel yang saya pelajari ialah novel “Leftenan Adnan Wira Bangsa” karya Abdul Latif bin Talib dan novel “Tirani” karya Beb Sabariah  dan. Watak utama dalam novel “Leftenan Adnan Wira bangsa” ialah Leftenan Adnan, manakala watak utama dalam novel “Tirani” ialah Waheeda. Kedua-dua watak utama memperlihatkan persamaan dan perbezaan dari segi perwatakan.
       Antara persamaan kedua-dua orang watak utama dalam dua buah novel tersebut ialah mereka merupakan seorang yang berani. Contohnya, Leftenan Adnan berani menentang tentera Jepun walaupun mempunyai senjata dan bilangan askar Melayu yang kurang. Beliau menentang tentera Jepun di Bukit Candu sehingga titisan yang terakhir. Manakala Waheeda berani menjalani pembedahan pada mata dan hidungnya walaupun Dr Zahari menerangkan risiko yang terpaksa ditanggungnya akibat pembedahan tersebut. Akhirnya, Waheeda berjaya menjalani pembedahan dan wajahnya menjadi cantik.
       Dari segi perbezaan, kedua-dua orang watak mempunyai minat yang berbeza. Leftenan Adnan amat meminati bidang ketenteraan. Beliau sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai guru semata-mata minatnya yang mendalam dalam bidang ketenteraan. Sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai askar, beliau telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan berusaha sedaya upaya menentang tentera Jepun di Bukit Candu sehingga titisan darah terakhir. Manakala Waheeda pula mempunyai minat yang mendalam dalam bidang perniagaan. Beliau berusaha dengan gigih untuk memajukan perniagaan pelancongan keluarganya, iaitu Chalet Tajau Emas. Waheeda mengadakan pelbagai promosi dan pakej untuk menarik kedatangan pelancong. Akhirnya, Chalet Tajau Emas menjadi tumpuan pelancong termasuklah pelancong luar negara.